Ramai lagi di kalangan masyarakat Islam yang salah faham tentang wasiat. Ada yang beranggapan meletakkan penama pada satu-satu harta mereka ialah wasiat. Harta-harta seperti KWSP, Tabung Haji dan sebagainya memerlukan pemiliknya meletakkan penama. Sesiapa pun boleh menjadi penama. Tujuan penamaan ialah memudahkan penama mengeluarkan duit/harta tersebut untuk dimanfaatkan oleh waris-waris simati dengan segera tanpa perlu mendapat perintah dari pihak-pihak yang menguruskan harta pusaka.
Sebenarnya penama bermaksud pemegang amanah iaitu orang yang bertanggungjawab untuk mengeluar seterusnya menguruskan harta tersebut dengan membahagi-bahagikannya kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum hakam Faraidh (Seksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam, Wilayah Persekutuan 1993, bertarikh 2 Januari 2001) . Penama bukannya pemilik kepada harta tersebut sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan orang. Oleh itu yang terbaik ialah meletakkan hanya seorang penama sahaja (100%) dan menerangkan kepada penama tersebut akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakannya apabila pemilik harta meninggal dunia.
Kesilapan yang berlaku ialah apabila pemilik meletakkan ramai penama kerana kurang faham maksud penama atau memahami bahawa penama adalah pemilik. Maka mereka menganggap meletak penama ialah memberi harta tersebut kepada mereka dengan peratus-peratus tertentu. bahkan ada dikalangan penama yang bukan daripada waris. Akibatnya, apabila pemilik meninggal, harta tersebut perlu dikeluarkan oleh penama mengikut peratus yang ditentukan. Sedangkan harta tersebut adalah pusaka yang tertakluk kepada hukum Faraidh yang menjadi hak kepada waris sahaja. Maka apakah hukumnya apabila harta itu dikeluarkan oleh orang lain yang bukan waris lantas menggunakannya untuk diri sendiri.
Ada juga dikalangan pencarum, khususnya wanita yang meletakkan anak-anak di bawah umur sebagai penama. Apa risikonya?
Jika sekiranya pencarum meninggal, anak bawah tidak dapat mengeluarkan harta tersebut sehinggalah mereka mencapai umur 18 tahun. Sedangkan ketika meninggal, pencarum meninggalkan waris-waris yang lain yang berhak. Sementara menunggu umur 18 tahun, mungkin ada di kalangan waris-waris yang meninggal. Maka, apabila si anak tadi mengeluarkan harta tersebut, terjaminkah bahawa dia akan mengambil kira hak-hak waris lain lebih-lebih lagi yang sudah meninggal. Mungkin dia lupa dan membelanjakan semua harta tersebut untuk diri sendiri.
Kesimpulannya, siapa yang bersalah? Waris atau pemilik harta? Sudah tentu pemilik harta yang bersalah kerana tidak menguruskan harta mereka dengan sebaiknya.
Ramai yang tak ambil kisah berkaitan hukum-hakam dalam pengurusan harta si mati
ReplyDelete