Monday, December 6, 2010

Mari Mengenal Ilmu Faraidh (8)

PENJELASAN KEDUDUKAN WARIS-WARIS LELAKI DAN PEREMPUAN


WARIS-WARIS DARI KALANGAN LELAKI
1. Anak lelaki
2. Cucu lelaki ke bawah (dari anak lelaki sahaja)
3. Bapa
4. Datuk ke atas
5. Adik beradik lelaki seibu sebapa
6. Adik beradik lelaki sebapa
7. Adik beradik lelaki seibu
8. Anak saudara lelaki (dari adik beradik lelaki seibu sebapa)
9. Anak saudara lelaki (dari adik beradik lelaki sebapa)
10. Bapa saudara seibu sebapa
11. Bapa saudara sebapa
12. Sepupu lelaki (dari bapa saudara seibu sebapa)
13. Sepupu lelaki (dari bapa saudara sebapa)
14. Suami

Ulasan:
Melihat kepada senarai waris-waris lelaki di atas, boleh disimpulkan bahawa mereka hendaklah lahir daripada kalangan lelaki sahaja. Sekiranya mereka lahir daripada perempuan, contohnya cucu lelaki daripada anak perempuan, cicit lelaki daripada cucu perempuan, anak saudara lelaki daripada adik beradik perempuan seibu sebapa atau sebapa, maka mereka tidak termasuk dari kalangan waris. Begitu juga anak saudara lelaki daripada adik beradik seibu samada lelaki atau perempuan. Seterusnya sepupu lelaki daripada ibu saudara tidak termasuk dari kalangan waris kerana ibu saudara samada sebelah ayah atau emak bukan dari kalangan waris.


WARIS-WARIS DARI KALANGAN PEREMPUAN
1. Anak perempuan
2. Cucu perempuan ke bawah (dari anak lelaki sahaja)
3. Ibu
4. Nenek (sebelah emak/sebelah ayah)
5. Adik beradik perempuan seibu sebapa
6. Adik beradik perempuan sebapa
7. Adik beradik perempuan seibu
8. Isteri


Ulasan:
Melihat kepada waris-waris perempuan pula, jumlah mereka lebih kecil daripada waris lelaki. Pewarisan mereka hanyalah setakat anak perempuan dan adik beradik perempuan sahaja (samada seibu sebapa, sebapa atau seibu). Bermakna anak-anak mereka (samada lelaki atau perempuan) tidak termasuk dalam senarai waris. Ini bermakna cucu perempuan daripada anak perempuan, anak saudara perempuan dari adik beradik perempuan (juga lelaki seperti yang dijelaskan sebelumnya) bukanlah dari kalangan waris yang layak menerima pusaka.

Insya Allah selepas ini, saya akan membawa contoh-contoh masalah dan penyelesaiannya supaya dapat difahami dengan lebih jelas.

No comments:

Post a Comment