Thursday, December 9, 2010

Masalah dan Penyelesaian (7)

Masalah 1:
Simati meninggalkan seorang isteri, ayah dan 1 anak perempuan.

Penyelesaian:
Isteri 1/8, ayah 1/6 + Asobah Binnafsi, anak perempuan ½.

Asal masalah ialah 24 isteri 3, ayah 4, anak perempuan 12, baki 5 untuk ayah.

Masalah 2:
Simati meninggalkan seorang isteri, 1 anak perempuan, 1 adik beradik lelaki seibu sebapa

Penyelasaian:
Isteri 1/8, anak perempuan ½, adik beradik lelaki seibu sebapa Asobah binnafsi.

Asal masalah ialah 8, isteri 1, anak perempuan 4, baki 3 untuk adik beradik lelaki seibu sebapa.

Ulasan:
Keadaan yang sama seperti di atas sekiranya di tempat adik beradik lelaki seibu sebapa itu ialah (mengikut turutan):
adik beradik lelaki sebapa
anak saudara lelaki dari adik beradik lelaki seibu sebapa.
anak saudara lelaki dari adik beradik lelaki sebapa
cucu saudara dari no 3, no 4 dan seterusnya.
bapa saudara seibu sebapa
bapa saudara sebapa
sepupu lelaki dari bapa saudara seibu sebapa
sepupu lelaki dari bapa saudara sebapa
anak sepupu lelaki dari no 7, no 8 dan seterusnya.

Masalah 3:
Simati meninggalkan seorang suami, anak perempuan dan cucu lelaki.

Penyelesaian:
Suami ¼, anak perempuan ½, cucu lelaki dari anak lelaki Asobah binnafsi.

Asal masalah ialah 4, suami 1, anak perempuan 2, baki 1 untuk cucu lelaki.

Masalah 4:
Simati meninggalkan seorang suami, anak perempuan, cucu perempuan dari anak lelaki.

Penyelesaian:
Suami ¼, anak perempuan ½, cucu perempuan 1/6.

Asal masalah 12, suami 3, anak perempuan 6, cucu perempuan 2, baki 1 kepada waris yang mendapat Asobah.

Tambahan:
jika bersama waris-waris di atas itu ialah:
1. cicit lelaki dari cucu lelaki = asobah binnafsi
2. adik beradik lelaki dll = asobah binnafsi
3. adik beradik perempuan = asobah maalghoiri
4. cicit perempuan dari cucu lelaki = terhalang
5. adik beradik seibu = terhalang

Masalah 5:
Simati meninggalkan isteri, 2 anak perempuan, cucu perempuan, adik beradik perempuan seibu sebapa.

Penyelesaian:
Isteri 1/8, 2 anak perempuan 2/3, cucu perempuan terhalang, adik beradik perempuan Asobah maalghoiri.

Asal masalah 24, isteri 3, 2 anak perempuan 16, baki 5 untuk adik beradik perempuan.

Masalah 6:
Simati meninggalkan isteri, 1 anak perempuan, adik beradik perempuan seibu sebapa, adik beradik lelaki sebapa.

Penyelesaian:
Isteri 1/8, anak perempuan ½, adik beradik perempuan asobah maalghoiri, adik beradik lelaki terhalang.

Asal masalah 8, isteri 1, anak perempuan 4, baki 3 untuk adik beradik perempuan.

Ulasan:
Sekiranya ditempat adik beradik perempuan itu ialah adik beradik perempuan sebapa, maka dia akan mewarisi Asobah Bilghoiri dengan adik beradik lelaki sebapa.

Masalah dan Penyelesaian (6)

Masalah 1:
Simati meninggalkan seorang isteri, ayah dan ibu.

Penyelesaian:
Ini adalah masalah Umariyah. Maka isteri 1/4, ibu 1/3 baki, ayah Asobah Binnafsi.

Asal masalah ialah 4 (iaitu daripada 1/4 isteri), isteri 1, baki 3. Untuk ibu 1 dan baki 2 untuk ayah.

Jika mengikut kaedah asal iaitu isteri 1/4, ibu 1/3 dan ayah Asobah binnafsi, maka asal masalah 12. Isteri 3, ibu 4 dan baki 5 untuk ayah. Nisbah bahagian ibu dengan ayah adalah terlalu dekat. Sedangkan sepatutnya ayah lebih daripada ibu kerana simati tiada anak. Maka Saidina Umar al-Khattab memutuskan (ijtihad) dengan penyelesaian yang pertama tadi, iaitu ayah mendapat 2 kali ganda daripada ibu.

Masalah 2:
Simati meninggalkan suami, ayah dan ibu.

Penyelesaian:
Ini juga adalah masalah Umariyah. Maka suami 1/2, ibu 1/3 baki, ayah Asobah Binnafsi.

Asal masalah ialah 2 (iaitu daripada 1/2 isteri), suami 1, baki 2. Perlu di darabkan dengan 3 (darpada 1/3 baki ibu). Asal masalah baru ialah 6. Suami 3, ibu 1 dan ayah 2.

Jika mengikut kaedah asal iaitu suami 1/2, ibu 1/3 dan ayah Asobah binnafsi, maka asal masalah 6. Suami 3, ibu 2 dan baki 1 untuk ayah. Bahagian ayah adalah kurang daripada ibu, maka menyalahi kaedah asal bahawa ayah lebih daripada ibu kerana simati tiada anak. Maka Saidina Umar al-Khattab memutuskan (ijtihad) dengan penyelesaian yang pertama tadi, iaitu ayah mendapat 2 kali ganda daripada ibu.

Masalah dan Penyelesaian (5)

Masalah 1:
Simati meninggalkan seorang isteri, 2 anak lelaki dan 3 anak perempuan.

Penyelesaian:
Isteri 1/8, anak lelaki dan anak perempuan Asobah Bilghoiri (4 bhg utk lelaki dan 3 bhg utk perempuan).

Asal masalah ialah 8, isteri 1, jumlah 1, baki 7 untuk anak lelaki dan perempuan.

Oleh kerana baki 7 boleh dibahagikan dengan 7 bhg anak lelaki dan perempuan (4 + 3), maka masalah boleh diselesaikan tanpa perlu asal masalah baru. Maka isteri 1, 4 untuk anak lelaki dan 3 untuk anak perempuan, jumlah 8.

Sebarang harta perlu dibahagikan dengan asal masalah iaitu 8. Contoh RM36,000 bahagi 8. Setiap bahagian adalah 4500. Maka isteri 1 x 4500 = 4500, anak lelaki 4 x 4500 = RM18,000 (seorang dapat RM9,000) dan anak perempuan 3 x 4500 = RM13,500 (seorang dapat RM4,500).

Wednesday, December 8, 2010

Masalah dan Penyelesaian (4)

Masalah 1:
Simati meninggalkan seorang ayah, isteri, 1 anak lelaki dan 1 anak perempuan.

Penyelesaian:
Ayah 1/6, isteri 1/8, anak lelaki dan anak perempuan Asobah Bilghoiri (2 bhg utk lelaki dan 1 bhg utk perempuan).

Asal masalah ialah 24, ayah 4, isteri 3, jumlah 7, baki 17 untuk anak lelaki dan perempuan.

Oleh kerana baki 17 tidak boleh dibahagikan dengan 3 bhg anak lelaki dan perempuan (2 + 1), maka asal masalah 24 didarab dengan 3 = 72. Maka ayah 12, isteri 9, jumlah 21, baki 51 untuk anak lelaki dan perempuan iaitu 34 untuk lelaki, 17 untuk perempuan.

Sebarang harta perlu dibahagikan dengan asal masalah yang terakhir iaitu 72. Contoh RM36,000 bahagi 72. Setiap bahagian adalah 500. Maka ayah 12 x 500 = RM6000, isteri 9 x 500 = 4500, anak lelaki 34 x 500 = RM17,000 dan anak perempuan 17 x 500 = RM8500.

Masalah dan Penyelesaian (3)

Masalah 1:
Simati meninggalkan seorang ayah, ibu, isteri, 2 anak lelaki dan 2 anak perempuan.

Penyelesaian:
Ayah 1/6, ibu 1/6, isteri 1/8, 2 anak lelaki dan 2 anak perempuan Asobah Bilghoiri (4 bhg utk lelaki dan 2 bhg utk perempuan).

Asal masalah ialah 24, ayah 4, ibu 4, isteri 3, jumlah 11, baki 13 untuk anak lelaki dan perempuan.

Oleh kerana baki 13 tidak boleh dibahagikan dengan 6 bhg anak lelaki dan perempuan (4 + 2), maka asal masalah 24 didarab dengan 6 = 144. Maka ayah 24, ibu 24, isteri 18, jumlah 66, baki 78 untuk anak lelaki dan perempuan iaitu 26 untuk 1 anak lelaki, 13 untuk 1 anak perempuan.

Sebarang harta perlu dibahagikan dengan asal masalah yang terakhir iaitu 144. Contoh RM36,000 bahagi 144. Setiap bahagian adalah 250. Maka ayah 24 x 250 = RM6000, ibu 24 x 250 = RM6000, isteri 18 x 250 = 4500, anak lelaki 26 x 250 = RM6,500 dan anak perempuan 13 x 250 = RM3250.

Masalah dan Penyelesaian (2)

Masalah 1:
Simati meninggalkan seorang ayah, ibu, isteri, 1 anak lelaki dan 1 anak perempuan.

Penyelesaian:
Ayah 1/6, ibu 1/6, isteri 1/8, anak lelaki dan anak perempuan Asobah Bilghoiri (2 bhg utk lelaki dan 1 bhg utk perempuan).

Asal masalah ialah 24, ayah 4, ibu 4, isteri 3, jumlah 11, baki 13 untuk anak lelaki dan perempuan. Oleh kerana baki 13 tidak boleh dibahagikan dengan 3 bhg anak lelaki dan perempuan (2 + 1), maka asal masalah 24 didarab dengan 3 = 72.

Maka ayah 12, ibu 12, isteri 9, jumlah 33, baki 39 untuk anak lelaki dan perempuan iaitu 26 untuk lelaki, 13 untuk perempuan.

Sebarang harta perlu dibahagikan dengan asal masalah yang terakhir iaitu 72. Contoh RM36,000 bahagi 72. Setiap bahagian adalah 500. Maka ayah 12 x 500 = RM6000, ibu 12 x 500 = RM6000, isteri 9 x 500 = 4500, anak lelaki 26 x 500 = RM13,000 dan anak perempuan 13 x 500 = RM6500.

Masalah dan Penyelesaian (1)

Sebelum kita mempelajari masalah Faraidh dan bagaimana cara penyelesaiannya, marilah kita belajar kaedah-kaedah yang diperlukan dalam menyelesaikan masalah.

1. Kita perlu tahu waris-waris yang berhak, yang tidak berhak dan yang terhalang.
2. Kita perlu tahu bahagian yang diterima oleh waris samada furudh atau asobah.
3. Kita perlu mencari "asal masalah" iaitu satu angka yang didapati dari hasil darab pembawah bagi setiap furudh dengan mengguna pakai kaedah gabungan sepunya terkecil (gstk). Contoh: jika furudhnya ialah 1/2, 1/3 dan 1/4 maka asal masalah ialah 12.
4. Kemudian barulah dibahagikan bahagian setiap waris daripada asal masalah tadi.

Ini adalah asas utama penyelesaian masalah. Tetapi masalah kadang-kadang menjadi lebih rumit jika sekiranya bilangan setiap waris yang berhak adalah ramai. Maka perlu kepada mempelajari kaedah-kaedah Tashih Masalah yang memerlukan kepada mengenali Tamathul, Tabayun, Tadakhul dan Tawafuq.

Tuesday, December 7, 2010

Mari Mengenal Ilmu Faraidh (9)

PENJELASAN TENTANG ASOBAH

Dalam Ilmu Faraidh, kekeliruan juga biasa berlaku dalam memahami maksud Asobah. Bagi kebanyakan orang, Asobah difahami sebagai bahagian yang diwarisi oleh orang lelaki sahaja seperti anak lelaki, cucu lelaki, ayah, adik beradik dan sebagainya.

Memang makna sebenar Asobah ialah waris lelaki daripada sebelah ayah seperti contoh-contoh tersebut tadi. Tetapi dalam pengagihan harta pusaka kepada waris-waris, Asobah terbahagi kepada 3 bahagian.

1. Asobah binnafsi: Inilah yang dimaksudkan dengan Asobah yang difahami oleh kebanyakan orang. Mereka ialah waris lelaki sebelah ayah yang akan mewarisi semua harta pusaka jika tiada waris lain dari kalangan Ashabul Furudh. Sekiranya ada Ashabul Furuhd, mereka akan mewarisi baki harta.

Keutamaan Asobah binnafsi mengikut susunan adalah seperti berikut:
- Anak lelaki
- Cucu lelaki (daripada anak lelaki)
- Cicit lelaki (daripada cucu lelaki) dan seterusnya
- Ayah
- Datuk
- Adik beradik lelaki seibu sebapa
- Adik beradik lelaki sebapa
- Anak saudara lelaki (daripada adik beradik lelaki seibu sebapa)
- Anak saudara lelaki (daripada adik beradik lelaki sebapa)
- Cucu saudara lelaki (daripada anak saudara adik beradik lelaki seibu sebapa)
- Cucu saudara lelaki (daripada anak saudara adik beradik lelaki sebapa) dan seterusnya
- Bapa saudara sebelah ayah seibu sebapa
- Bapa saudara sebelah ayah sebapa
- Sepupu lelaki (daripada bapa saudara sebelah ayah seibu sebapa)
- Sepupu lelaki (daripada bapa saudara sebelah ayah sebapa)
- Anak sepupu lelaki (daripada sepupu lelaki bapa saudara sebelah ayah seibu sebapa)
- Anak sepupu lelaki (daripada sepupu lelaki bapa saudara sebelah ayah sebapa)

Hanya Asobah yang pertama ini sahaja khusus untuk lelaki, manakala 2 jenis yang lain adalah berkaitan dengan perempuan.

2. Asobah Bilghori: Asobah ini ialah untuk 4 kumpulan waris perempuan dengan syarat ada bersama mereka adik beradik yang sama taraf yang asal mereka mewarisi Asobah binnafsi sekiranya tiada waris perempuan tadi. Asas pembahagian pula ialah 2 bahagian untuk lelaki dan 1 bahagian untuk perempuan. Mereka terdiri daripada:

- Anak perempuan jika bersamanya anak lelaki.
- Cucu perempuan jika bersamanya cucu lelaki (daripada anak lelaki sahaja walaupun daripada ayah yang berlainan)
- Adik beradik perempuan seibu sebapa jika bersamanya adik beradik lelaki seibu sebapa
- Adik beradik perempuan sebapa jika bersamanya adik beradik lelaki sebapa

Sedikit penjelasan:
Sekiranya terdapat 2 anak perempuan bersama cucu perempuan dan cicit lelaki (tidak sama taraf), maka cucu perempuan akan mewarisi Asobah bilghori dengan cicit lelaki. Ini kerana cucu perempuan terhalang dengan 2 orang anak perempuan sekiranya tidak mewarisi asobah sedangkan dia lebih tinggi tahapnya daripada cicit lelaki.

Akan tetapi sekiranya ada 1 anak perempuan, maka cucu perempuan akan mewarisi 1/6 (takmilah lis-thuluthain) dan cicit lelaki mewarisi Asobah binnafsi.

Keadaan yang sama berlaku dalam masalah 2 adik beradik perempuan seibu sebapa, adik beradik perempuan sebapa dan anak saudara daripada adik beradik lelaki seibu sebapa atau sebapa.

3. Asobah Maalghoiri: Asobah jenis ini adalah khusus untuk perempuan sahaja dan tiada kaitan langsung dengan waris lelaki. Ia diwarisi oleh adik beradik perempuan yang ada bersama dengan anak perempuan dengan syarat tiada adik beradik lelaki. Sekiranya ada adik beradik lelaki, maka sudah tentu adik beradik perempuan tadi akan mewarisi Asobah bilghoiri.

Asobah ini akan diwarisi oleh 2 waris iaitu:
- Adik beradik perempuan seibu sebapa. Syaratnya ialah tiada adik beradik lelaki seibu sebapa, tiada anak lelaki dan tiada ayah. Kekuatan yang ada pada adik beradik perempuan seibu sebapa dalam hal ini ialah menghalang adik beradik lelaki sebapa yang berhak mendapat Asobah binnafsi. (lihat contoh dibawah)
- Adik beradik perempuan sebapa. Syaratnya tiada adik beradik lelaki sebapa, tiada adik beradik lelaki sebapa, tiada anak lelaki dan tiada ayah.

Contoh:
Anak perempuan, adik beradik perempuan seibu sebapa, adik beradik lelaki sebapa.

Penyelesaian:
Anak perempuan: 1/2, adik beradik perempuan seibu sebapa: Asobah Maalghoiri, adik beradik lelaki sebapa: terhalang dengan adik beradik perempuan.

Monday, December 6, 2010

Mari Mengenal Ilmu Faraidh (8)

PENJELASAN KEDUDUKAN WARIS-WARIS LELAKI DAN PEREMPUAN


WARIS-WARIS DARI KALANGAN LELAKI
1. Anak lelaki
2. Cucu lelaki ke bawah (dari anak lelaki sahaja)
3. Bapa
4. Datuk ke atas
5. Adik beradik lelaki seibu sebapa
6. Adik beradik lelaki sebapa
7. Adik beradik lelaki seibu
8. Anak saudara lelaki (dari adik beradik lelaki seibu sebapa)
9. Anak saudara lelaki (dari adik beradik lelaki sebapa)
10. Bapa saudara seibu sebapa
11. Bapa saudara sebapa
12. Sepupu lelaki (dari bapa saudara seibu sebapa)
13. Sepupu lelaki (dari bapa saudara sebapa)
14. Suami

Ulasan:
Melihat kepada senarai waris-waris lelaki di atas, boleh disimpulkan bahawa mereka hendaklah lahir daripada kalangan lelaki sahaja. Sekiranya mereka lahir daripada perempuan, contohnya cucu lelaki daripada anak perempuan, cicit lelaki daripada cucu perempuan, anak saudara lelaki daripada adik beradik perempuan seibu sebapa atau sebapa, maka mereka tidak termasuk dari kalangan waris. Begitu juga anak saudara lelaki daripada adik beradik seibu samada lelaki atau perempuan. Seterusnya sepupu lelaki daripada ibu saudara tidak termasuk dari kalangan waris kerana ibu saudara samada sebelah ayah atau emak bukan dari kalangan waris.


WARIS-WARIS DARI KALANGAN PEREMPUAN
1. Anak perempuan
2. Cucu perempuan ke bawah (dari anak lelaki sahaja)
3. Ibu
4. Nenek (sebelah emak/sebelah ayah)
5. Adik beradik perempuan seibu sebapa
6. Adik beradik perempuan sebapa
7. Adik beradik perempuan seibu
8. Isteri


Ulasan:
Melihat kepada waris-waris perempuan pula, jumlah mereka lebih kecil daripada waris lelaki. Pewarisan mereka hanyalah setakat anak perempuan dan adik beradik perempuan sahaja (samada seibu sebapa, sebapa atau seibu). Bermakna anak-anak mereka (samada lelaki atau perempuan) tidak termasuk dalam senarai waris. Ini bermakna cucu perempuan daripada anak perempuan, anak saudara perempuan dari adik beradik perempuan (juga lelaki seperti yang dijelaskan sebelumnya) bukanlah dari kalangan waris yang layak menerima pusaka.

Insya Allah selepas ini, saya akan membawa contoh-contoh masalah dan penyelesaiannya supaya dapat difahami dengan lebih jelas.

Mari Mengenal Ilmu Faraidh (7)

BAHAGIAN WARIS-WARIS UTAMA

Suami
1- ½ jika simati tiada anak.
2- ¼ jika simati ada anak.

Isteri
1- ¼ jika simati tiada anak.
2- 1/8 jika simati ada anak.

Ayah
1- 1/6 jika simati ada anak.
2- Asobah (baki harta) jika simati tiada anak.

Emak
1- 1/6 jika simati ada anak atau adik beradik (2 dan lebih)
2- 1/3 jika simati tiada anak atau tiada adik beradik (2 dan lebih)

Anak lelaki
1- Asobah jika simati tiada anak perempuan.
2- 2 bahagian jika simati ada anak perempuan.

Anak perempuan
1- ½ jika seorang dan simati tiada anak lelaki.
2- 2/3 jika 2 orang atau lebih dan simati tiada anak lelaki.
3- 1 bahagian jika simati ada anak lelaki.

Cucu lelaki (dari anak lelaki sahaja)
1- Asobah jika simati tiada cucu perempuan dan tiada anak lelaki.
2- 2 bahagian jika simati ada cucu perempuan dan tiada anak lelaki.
3- Terhalang dengan anak lelaki.

Cucu perempuan (dari anak lelaki sahaja)
1- ½ jika seorang dan siamti tiada cucu lelaki dan anak lelaki.
2- 2/3 jika 2 orang atau lebih dan simati tiada cucu lelaki dan anak lelaki.
3- 1/6 jika simati ada seorang anak perempuan sahaja dan tiada cucu lelaki dan anak lelaki.
4- 1 bahagian jika simati ada cucu lelaki dan tiada anak lelaki.
5- Terhalang dengan anak lelaki dan 2 orang atau lebih anak perempuan.

Adik Beradik lelaki seibu sebapa
1- Asobah jika simati tiada adik beradik perempuan seibu sebapa dan tiada ayah dan anak lelaki.
2- 2 bahagian jika simati ada adik beradik seibu perempuan seibu sebapa dan tiada ayah dan anak lelaki.
3- Terhalang dengan ayah dan anak lelaki.

Adik beradik perempuan seibu sebapa
1- ½ jika seorang dan simati tiada adik beradik lelaki seibu sebapa, tiada ayah dan anak lelaki.
2- 2/3 jika 2 orang atau lebih dan simati tiada adik beradik lelaki seibu sebapa, tiada ayah dan anak lelaki.
3- 1 bahagian jika simati ada adik beradik lelaki seibu sebapa dan tiada ayah dan anak lelaki.
4- Asobah Maal Ghoiri jika simati ada anak perempuan sahaja dan tiada adik beradik lelaki seibu sebapa, tiada ayah dan anak lelaki.
5- Terhalang dengan ayah dan anak lelaki.

Adik beradik lelaki sebapa.
1- Asobah jika simati tiada adik beradik perempuan sebapa dan tiada adik beradik lelaki seibu sebapa, tiada ayah dan anak lelaki.
2- 2 bahagian jika simati ada adik beradik perempuan sebapa dan tiada adik beradik lelaki seibu sebapa, tiada ayah dan anak lelaki.
3- Terhalang dengan ayah, anak lelaki dan adik beradik lelaki seibu sebapa.

Adik beradik perempuan sebapa
1- ½ jika seorang dan simati tiada adik beradik lelaki sebapa, tiada adik beradik lelaki dan perempuan seibu sebapa, tiada ayah dan tiada anak lelaki.
2- 2/3 jika 2 orang atau lebih dan simati tiada adik beradik lelaki sebapa, tiada adik beradik lelaki dan perempuan seibu sebapa, tiada ayah dan tiada anak lelaki.
3- 1/6 jika simati ada seorang adik beradik perempuan seibu sebapa dan tiada adik beradik lelaki sebapa, tiada adik beradik lelaki seibu sebapa, tiada ayah dan tiada anak lelaki.
4- Asobah Bil Ghoiri iaitu 1 bahagian jika simati ada adik beradik lelaki sebapa.
5- Asobah Maal Ghoiri jika simati ada anak perempuan sahaja dan tiada adik beradik lelaki sebapa, tiada adik beradik lelaki dan perempuan seibu sebapa, tiada ayah dan tiada anak lelaki.
6- Terhalang dengan ayah, anak lelaki, adik beradik lelaki seibu sebapa, 2 orang adik beradik perempuan seibu sebapa dan adik beradik perempuan seibu sebapa yang menerima Asobah Maal Ghoiri.

Adik beradik seibu (lelaki dan perempuan)
1- 1/6 jika seorang dan simati tiada ayah dan anak (samada lelaki atau perempuan)
2- 1/3 jika 2 orang atau lebih dan simati tiada ayah dan anak (samada lelaki atau perempuan)
3- Terhalang dengan ayah, datuk dan anak (samada lelaki atau perempuan)

Anak saudara lelaki (dari adik beradik lelaki seibu sabapa)
1- Asobah Binnafsi jika simati tiada anak lelaki, ayah, adik beradik lelaki seibu sebapa dan adik beradik lelaki sebapa.
2- Terhalang dengan anak lelaki, ayah, adik beradik lelaki seibu sebapa dan adik beradik lelaki sebapa.

Anak saudara lelaki (dari adik beradik lelaki sabapa)
1- Asobah Binnafsi jika simati tiada anak lelaki, ayah, adik beradik lelaki seibu sebapa, adik beradik lelaki sebapa dan anak saudara dari adik beradik lelaki seibu sebapa.
2- Terhalang dengan anak lelaki, ayah, adik beradik lelaki seibu sebapa, adik beradik lelaki sebapa dan anak saudara dari adik beradik lelaki seibu sebapa.

Bapa saudara seibu sebapa
1- Asobah Binnafsi jika simati tiada anak lelaki, ayah, adik beradik lelaki seibu sebapa, adik beradik lelaki sebapa, anak saudara dari adik beradik lelaki seibu sebapa dan anak saudara dari adik beradik lelaki sebapa.
2- Terhalang dengan anak lelaki, ayah, adik beradik lelaki seibu sebapa, adik beradik lelaki sebapa, anak saudara dari adik beradik lelaki seibu sebapa dan anak saudara dari adik beradik lelaki sebapa.

Bapa saudara sebapa
1- Asobah Binnafsi jika simati tiada anak lelaki, ayah, adik beradik lelaki seibu sebapa, adik beradik lelaki sebapa, anak saudara dari adik beradik lelaki seibu sebapa, anak saudara dari adik beradik lelaki sebapa dan bapa saudara seibu sebapa.
2- Terhalang dengan anak lelaki, ayah, adik beradik lelaki seibu sebapa, adik beradik lelaki sebapa, anak saudara dari adik beradik lelaki seibu sebapa, anak saudara dari adik beradik lelaki sebapa dan bapa saudara seibu sebapa.

Sepupu lelaki (dari bapa saudara seibu sebapa)
1- Asobah Binnafsi jika simati tiada anak lelaki, ayah, adik beradik lelaki seibu sebapa, adik beradik lelaki sebapa, anak saudara dari adik beradik lelaki seibu sebapa, anak saudara dari adik beradik lelaki sebapa, bapa saudara seibu sebapa dan bapa saudara sebapa.
2- Terhalang dengan anak lelaki, ayah, adik beradik lelaki seibu sebapa, adik beradik lelaki sebapa, anak saudara dari adik beradik lelaki seibu sebapa, anak saudara dari adik beradik lelaki sebapa, bapa saudara seibu sebapa dan bapa saudara sebapa.

Sepupu lelaki (dari bapa saudara sebapa)
1- Asobah Binnafsi jika simati tiada anak lelaki, ayah, adik beradik lelaki seibu sebapa, adik beradik lelaki sebapa, anak saudara dari adik beradik lelaki seibu sebapa, anak saudara dari adik beradik lelaki sebapa, bapa saudara seibu sebapa, bapa saudara sebapa dan sepupu lelaki dari bapa saudara seibu sebapa.
2- Terhalang dengan anak lelaki, ayah, adik beradik lelaki seibu sebapa, adik beradik lelaki sebapa, anak saudara dari adik beradik lelaki seibu sebapa, anak saudara dari adik beradik lelaki sebapa, bapa saudara seibu sebapa, bapa saudara sebapa dan sepupu lelaki dari bapa saudara seibu sebapa.

Jika tiada waris-waris seperti di atas, barulah harta pusaka akan diwarisi oleh Baitulmal.

Mari Mengenal Ilmu Faraidh (6)

ASOBAH

Asobah dari segi bahasa ialah waris lelaki dari sebelah ayah.
Manakala dari segi istilah ialah setiap waris yang tidak memiliki bahagian-bahagian khusus dalam Al-Quran dan Al-Sunnah seperti anak lelaki, cucu lelaki dari anak lelaki, saudara lelaki kandung, saudara lelaki sebapa, bapa saudara kandung dan seterusnya.

Asobah terbahagi kepada 2 iaitu Nasabiyyaah iaitu keturunan dan Sababiyyah, iaitu tuan mewarisi harta bekas hambanya yang telah dibebaskan.

Asobah Nasabiyyah terbahagi pula kepada 3 bahagian:
1. Asobah Binnafsi.
2. Asobah Bilghoiri.
3. Asobah Maalghoiri.

Asobah Binnafsi: Terdiri dari waris lelaki bermula dengan anak lelaki, cucu lelaki dan seterusnya, ayah, datuk dan seterusnya, saudara lelaki kandung, saudara lelaki sebapa, anak saudara lelaki kandung, anak saudara lelaki sebapa dan seterusnya, bapa saudara kandung, bapa saudara sebapa, sepupu lelaki kandung, sepupu lelaki sebapa dan seterusnya.

Asobah Bilghoiri: Terdiri daripada empat kelompok waris perempuan bila bersama dengan adik beradik mereka yang lelaki. Mereka ialah:
1. Anak perempuan bila bersama dengan anak lelaki.
2. Cucu perempuan dari anak lelaki bila bersama dengan cucu lelaki dari anak lelaki.
3. Saudara perempuan seibu sebapa bila bersama saudara lelaki seibu sebapa.
4. Saudara perempuan sebapa bila bersama dengan saudara sebapa lelaki.

Pembahagian bagi Asobah Bilghoiri adalah berasaskan kepada lelaki 2 bahagian dan perempuan 1 bahagian.

Asobah Maalghoiri: Khusus untuk saudara perempuan sahaja samada saudara kandung atau sebapa apabila bersama dengan anak perempuan dengan syarat tiada anak lelaki dan saudara lelaki.

Mari Mengenal Ilmu Faraidh (5)

JENIS-JENIS FURUDH
1. ½, ¼, 1/8, 1/3, 1/6, 2/3 (dari al-Quran)
2. 1/3 daripada baki (ijtihad)

JUMLAH ASHABUL FURUD
1. Suami
2. Bapa
3. Datuk
4. Adik beradik lelaki seibu
5. Anak perempuan
6. Cucu perempuan (dari anak lelaki sahaja)
7. Ibu
8. Nenek
9. Adik beradik perempuan seibu sebapa
10. Adik beradik perempuan sebapa
11. Adik beradik perempuan seibu
12. Isteri

WARIS MENGIKUT FURUDH

Satu per Dua (½)
1. Anak Perempuan jika seorang dan simati tiada anak lelaki.
2. Cucu Perempuan jika seorang dan simati tiada anak lelaki dan anak perempuan.
3. Adik beradik perempuan seibu sebapa jika seorang dan simati tiada anak lelaki, anak perempuan dan tiada ayah.
4. Adik beradik perempuan sebapa jika seorang, simati tiada anak lelaki, tiada anak perempuan, tiada ayah dan tiada adik beradik seibu sebapa.
5. Suami jika simati tiada anak

Satu per Empat (¼)
1. Suami jika simati ada anak.
2. Isteri jika simati tiada anak.

Satu per Lapan (1/8)
1. Isteri jika simati ada anak.

Satu per Tiga (1/3)
1. Emak jika simati tiada anak atau tiada 2 orang adik beradik atau lebih.
2. Adik beradik seibu (lelaki/perempuan) jika 2 orang atau lebih.

Dua per Tiga (2/3)
1. Anak perempuan jika 2 orang atau lebih dan simati tiada anak lelaki.
2. Cucu perempuan jika 2 orang atau lebih dan simati tiada anak lelaki dan anak perempuan.
3. Adik beradik perempuan seibu sebapa jika 2 orang atau lebih dan simati tiada anak lelaki, tiada anak perempuan, tiada ayah dan tiada adik beradik lelaki seibu sebapa.
4. Adik beradik perempuan sebapa jika 2 orang atau lebih dan simati tiada anak lelaki, tiada anak perempuan, tiada ayah dan tiada adik beradik lelaki dan perempuan seibu sebapa.

Satu per Enam (1/6)
1. Ayah jika simati ada anak.
2. Emak jika simati ada anak.
3. Datuk jika simati tiada ayah anak dan ada anak.
4. Nenek jika simati tiada emak dan ada anak.
5. Adik beradik seibu jika seorang sahaja.
6. Cucu perempuan (dari anak lelaki) jika simati ada seorang anak perempuan sahaja dan tiada anak lelaki.
7. Adik beradik perempuan sebapa jika simati ada seorang adik beradik perempuan seibu sebapa, tiada ayah, tiada anak lelaki, tiada anak perempuan, tiada adik beradik lelaki seibu sebapa dan tiada adib beradik lelaki sebapa.

Satu per Tiga (daripada baki)
1. Ibu jika simati ada suami dan ayah.
2. Ibu jika simati ada isteri dan ayah.

Tambahan:
2 masalah di atas adalah ijtihad Saidina Umar al-Khattab yang disepakati para sahabat. Hukum asal ialah ibu mendapat 1/3 daripada semua harta. Tetapi bahagian ayah menjadi kurang daripada bahagian ibu. Maka Saidina Umar memutuskan bahawa bahagian ibu ialah 1/3 daripada baki (iaitu selepas suami atau isteri mendapat bahagian) dan bakinya adalah bahagian ayah.

Mari Mengenal Ilmu Faraidh (4)

WARIS-WARIS DARI KALANGAN LELAKI
1. Anak lelaki
2. Cucu lelaki ke bawah (dari anak lelaki sahaja)
3. Bapa
4. Datuk ke atas
5. Adik beradik lelaki seibu sebapa
6. Adik beradik lelaki sebapa
7. adik beradik lelaki seibu
8. Anak saudara lelaki (dari saudara lelaki seibu sebapa)
9. Anak saudara lelaki (dari saudara lelaki sebapa)
10. Bapa saudara seibu sebapa
11. Bapa saudara sebapa
12. Sepupu lelaki (dari bapa saudara seibu sebapa)
13. Sepupu lelaki (dari bapa saudara sebapa)
14. Suami

WARIS-WARIS DARI KALANGAN PEREMPUAN
1. Anak perempuan
2. Cucu perempuan ke bawah (dari anak lelaki sahaja)
3. Ibu
4. Nenek (sebelah emak/sebelah ayah)
5. Adik beradik perempuan seibu sebapa
6. Adik beradik perepmpuan sebapa
7. Adik beradik perempuan seibu
8. Isteri

Perhatian:
Jika berhimpun semua waris lelaki, maka yang akan mewarisi ialah:
1. Anak lelaki
2. Bapa
3. Suami

Dan jika berhimpun semua waris perempuan, maka yang akan mewarisi:
1. Anak perempuan.
2. Cucu perempuan (dalam sesetengah keadaan sahaja)
3. Ibu.
4. Adik beradik perempuan seibu sebapa (dalam sesetengah keadaan sahaja)
5. Isteri

Dan jika berhimpun semua waris lelaki dan perempuan, yang akan mewarisi ialah:
1. Anak lelaki
2. Anak perempuan
3. Bapa
4. Ibu
5. Suami/Isteri

Manakala waris-waris yang lain adalah terhijab dengan mereka

CARA-CARA PEWARISAN
1. Pewarisan dengan furudh iaitu bahagian yang telah ditetapkan dalam al-Quran. Waris yang mewarisi cara ini dipanggil Ashabul Furud

2. Pewarisan dengan Ta’sib (Asobah). Iaitu mewarisi baki selepas ditolak bahagian Ashabul Furud atau mewarisi semua harta jika tiada Ashabul Furud.

MEWARISI FURUD SAHAJA
1. Ibu
2. Adik beradik lelaki seibu
3. Adik beradik perempuan seibu
4. Nenek
5. Suami
6. Isteri

MEWARISI ASOBAH SAHAJA
1. Anak lelaki.
2. Cucu lelaki dan ke bawah (dari anak lelaki sahaja)
3. Adik beradik lelaki seibu sebapa
4. Anak saudara lelaki dan ke bawah (dari adik beradik lelaki seibu sebapa sahaja)
5. Adik beradik lelaki sebapa
6. Anak saudara lelaki dan ke bawah (dari adik beradik lelaki sebapa sahaja)
7. Bapa saudara seibu sebapa
8. Sepupu lelaki dan ke bawah (dari bapa saudara seibu sebapa)
9. Bapa saudara sebapa
10. Sepupu lelaki dan ke bawah (dari bapa saudara sebapa sahaja)

MEWARISI FURUD ATAU ASOBAH ATAU KEDUA-DUANYA
1. Bapa
2. Datuk

MEWARISI FURUD ATAU ASOBAH (SECARA BERASINGAN)
1. Anak perempuan
2. Cucu perempuan (dari anak lelaki sahaja)
3. Adik beradik perempuan seibu sebapa
4. Adik beradik perempuan sebapa

Mari Mengenal Ilmu Faraidh (3)

AYAT-AYAT FARAID

Surah Al-Nisa’ Ayat 11
“Allah perintahkan kamu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.
Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh simati.
Dan jika anak perempuan itu seorang saja, maka bahagiannya ialah satu perdua dari harta itu.
Dan bagi ibu-bapa (simati), tiap-tiap seorang dari keduanya, satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh simati, jika simati itu mempunyai anak.
Tetapi jika simati tidak mempunyai anak, sedangkan yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya sahaja, maka bahagian ibu ialah satu pertiga.
Kalau simati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.
(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh simati, dan sesudah dibayar hutangnya.
Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Surah Al-Nisa’ Ayat 12
“Dan bagi kamu (suami) satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu, jika mereka tidak mempunyai anak.
Tetapi jika mereka mempunyai anak, maka kamu mendapat satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayar hutangnya.
Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak.
Tetapi kalau kamu mempunyai anak, maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutang kamu.
Dan jika simati yang diwarisi itu, baik lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau seorang saudara perempuan (seibu), maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam.
Kalau pula mereka (saudara-saudara seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh simati, dan sesudah dibayar hutangnya; wasiat-wasiat tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudharat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyabar.”


Surah Al-Nisa’ Ayat 176
“Mereka (orang-orang Islam) meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad mengenai masalah Kalalah).
Katakanlah: "Allah memberi fatwa kepada kamu dalam perkara Kalalah itu, iaitu jika seseorang mati, yang tidak mempunyai anak dan dia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkannya,
dan dia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuan, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak.
Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh simati.
Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan.
Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu, supaya kamu tidak sesat, dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Sebab turun ayat Faraid
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim bahawa isteri Saad bin Rabi’ telah menemui Rasulullah bersama 2 orang anak perempuan Saad dan berkata: “Ya Rasulullah, ini 2 orang anak perempuan Saad yang mati syahid di medan Uhud. Sesungguhnya bapa saudaranya telah mengambil semua hartanya, dan mereka tidak dapat berkahwin tanpa harta. Bersabda Rasulullah: Allah akan memutuskannya, maka turunlah ayat 11 Surah Al-Nisa’.

Sunday, December 5, 2010

Mari Mengenal Ilmu Faraidh (2)

HARTA PENINGGALAN (al-Tarikah)
Dari segi bahasa: Semua peninggalan simati samada bernilai atau tidak
Dari segi syarak: Semua peninggalan simati yang bernilai samada terikat dengan hutang atau pun tidak.

JENIS HARTA PENINGGALAN
1. Harta Alih seperti Duit, Akaun Bank, Tabung Haji, KWSP, ASB, Saham, Pelaburan,Takaful, Kereta, Motor, Perniagaan, Rumah Sewa, Barang Kemas, Hutang dan dan lain-lain.
2. Harta Tak Alih seperti Tanah, Rumah

HAK SI MATI ATAS HARTA PENINGGALAN
1. Pengurusan Jenazah
2. Hutang Simati.
3. Wasiat (tidak lebih 1/3) kepada bukan waris
4. Harta Sepencarian.
5. Agihan Baki Harta Mengikut Hukum Faraid.

WASIAT
Hukum asal adalah wajib (180: Al-Baqarah).
“Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara ma'ruf (adil dan baik). Ini adalah kewajipan atas orang-orang yang bertakwa”.

Ayat ini dinasakhkan bila turunnya ayat Faraid. Wasiat hanya dibolehkan pada had 1/3 harta kepada bukan waris. Maka tidak sah wasiat kepada waris kecuali dengan persetujuan semua waris lain. Persetujuan itu perlu berlaku selepas kematian pemberi wasiat.

Dari sudut perundangan di Malaysia, wasiat terbahagi kepada 2:
Wasiat Untuk Bukan Islam (Akta Wasiat 1959)
Wasiat Untuk Orang Islam:
- Wasiat Sivil (Melantik Pemegang Amanah bagi harta lebih RM2 juta)
- Wasiat Syar’ie (1/3 kpd bukan waris, sebagai amal jariah)

HARTA PUSAKA (al-Irth)
Semua harta milik sah simati yang mempunyai nilai atau tidak sama ada harta fizikal atau apa-apa hak dan kepentingan yang berkaitan dengannya seperti harta berbentuk alih atau tak alih, mata wang, hak atau kepentingan si mati atau manfaat selepas diselasaikan hak-hak seperti urus jenazah, hutang, wasiat, harta sepencarian dan sebarang perancangan harta yang dibuat semasa masih hidup.

PENGERTIAN ILMU FARAID
Ilmu yang menerangkan waris yang layak dan tidak layak mewarisi harta pusaka simati serta bahagian yang layak diterima dan cara pembahagiannya.

KELEBIHAN MEMPELAJARI ILMU FARAID
Sabda nabi SAW yang bermaksud:
”Belajarlah ilmu Faraid dan ajarkannya kepada orang lain kerana ia adalah separuh ilmu. Ia akan dilupakan dan ia akan menjadi perkara pertama dicabut dari umatku”
(Riwayat Ibn Majah)

Berkata Saidina Umar r.a:
”Belajarlah ilmu al-Sunnah, ilmu Faraid dan ilmu Bahasa Arab sebagaimana kamu mempelajari al-Quran”(Riwayat Imam al-Darimi)

SEBAB PEWARISAN
Nasab (keturunan/hubungan darah)
Perkahwinan
Wala’ (tuan yang membebaskan hambanya)

RUKUN PEWARISAN
Simati
Waris
Harta Pusaka

SYARAT PEWARISAN
Kematian pemilik harta yang pasti (hakiki/hukmi)
Waris dipastikan masih hidup.
Mengetahui hubungan antara waris dengan simati.

GUGUR PEWARISAN
Hamba
Membunuh pemilik harta
Berbeza agama.

KATEGORI PEWARISAN MENGIKUT TURUTAN
1. Ashabul Furud
2. al-‘Asobah
3. al-Raddu
4. Zawi Arham
5. al-Raddu (kepada suami atau isteri)
6. Asobah Sababiah
7. Wasiat lebih daripada 1/3
8. Baitulmal

(bagi kategori pewarisan di atas, pelaksanaan di Malaysia ialah no 1, 2 dan 8)

Mari Mengenal Ilmu Faraidh (1)

Firman Allah dalam Surah An-Nisaa’ ayat 11, yang bermaksud:
“…Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”

Sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud:
“Pelajarilah Ilmu Faraid dan ajarkannya kepada orang lain. Kerana aku akan dicabut (nyawa) dan ilmu tersebut juga akan dicabut oleh Allah. Lalu akan timbullah fitnah harta sehingga nanti akan ada dua orang berselisih tentang pembahagian harta pusaka dan mereka tidak tahu siapakah yang akan dapat menyelesaikan masalah mereka”
- Riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqi dan Ibn Mas’ud

“Pelajarilah ilmu Faraid dan ajarkannya kepada orang lain. Kerana sesungguhnya ia adalah sebahagian dari ilmu yang banyak. Tapi malangnya ia adalah ilmu yang dilupakan dan ia ialah ilmu yang mula-mula akan dicabut dari umatku”.
-Riwayat Al–Hakim, Baihaqi dan Abu Hurairah.

Saturday, December 4, 2010

Salah Faham Antara Wasiat dan Penama

Ramai lagi di kalangan masyarakat Islam yang salah faham tentang wasiat. Ada yang beranggapan meletakkan penama pada satu-satu harta mereka ialah wasiat. Harta-harta seperti KWSP, Tabung Haji dan sebagainya memerlukan pemiliknya meletakkan penama. Sesiapa pun boleh menjadi penama. Tujuan penamaan ialah memudahkan penama mengeluarkan duit/harta tersebut untuk dimanfaatkan oleh waris-waris simati dengan segera tanpa perlu mendapat perintah dari pihak-pihak yang menguruskan harta pusaka.

Sebenarnya penama bermaksud pemegang amanah iaitu orang yang bertanggungjawab untuk mengeluar seterusnya menguruskan harta tersebut dengan membahagi-bahagikannya kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum hakam Faraidh (Seksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam, Wilayah Persekutuan 1993, bertarikh 2 Januari 2001) . Penama bukannya pemilik kepada harta tersebut sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan orang. Oleh itu yang terbaik ialah meletakkan hanya seorang penama sahaja (100%) dan menerangkan kepada penama tersebut akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakannya apabila pemilik harta meninggal dunia.

Kesilapan yang berlaku ialah apabila pemilik meletakkan ramai penama kerana kurang faham maksud penama atau memahami bahawa penama adalah pemilik. Maka mereka menganggap meletak penama ialah memberi harta tersebut kepada mereka dengan peratus-peratus tertentu. bahkan ada dikalangan penama yang bukan daripada waris. Akibatnya, apabila pemilik meninggal, harta tersebut perlu dikeluarkan oleh penama mengikut peratus yang ditentukan. Sedangkan harta tersebut adalah pusaka yang tertakluk kepada hukum Faraidh yang menjadi hak kepada waris sahaja. Maka apakah hukumnya apabila harta itu dikeluarkan oleh orang lain yang bukan waris lantas menggunakannya untuk diri sendiri.

Ada juga dikalangan pencarum, khususnya wanita yang meletakkan anak-anak di bawah umur sebagai penama. Apa risikonya?

Jika sekiranya pencarum meninggal, anak bawah tidak dapat mengeluarkan harta tersebut sehinggalah mereka mencapai umur 18 tahun. Sedangkan ketika meninggal, pencarum meninggalkan waris-waris yang lain yang berhak. Sementara menunggu umur 18 tahun, mungkin ada di kalangan waris-waris yang meninggal. Maka, apabila si anak tadi mengeluarkan harta tersebut, terjaminkah bahawa dia akan mengambil kira hak-hak waris lain lebih-lebih lagi yang sudah meninggal. Mungkin dia lupa dan membelanjakan semua harta tersebut untuk diri sendiri.

Kesimpulannya, siapa yang bersalah? Waris atau pemilik harta? Sudah tentu pemilik harta yang bersalah kerana tidak menguruskan harta mereka dengan sebaiknya.