Tuesday, December 7, 2010

Mari Mengenal Ilmu Faraidh (9)

PENJELASAN TENTANG ASOBAH

Dalam Ilmu Faraidh, kekeliruan juga biasa berlaku dalam memahami maksud Asobah. Bagi kebanyakan orang, Asobah difahami sebagai bahagian yang diwarisi oleh orang lelaki sahaja seperti anak lelaki, cucu lelaki, ayah, adik beradik dan sebagainya.

Memang makna sebenar Asobah ialah waris lelaki daripada sebelah ayah seperti contoh-contoh tersebut tadi. Tetapi dalam pengagihan harta pusaka kepada waris-waris, Asobah terbahagi kepada 3 bahagian.

1. Asobah binnafsi: Inilah yang dimaksudkan dengan Asobah yang difahami oleh kebanyakan orang. Mereka ialah waris lelaki sebelah ayah yang akan mewarisi semua harta pusaka jika tiada waris lain dari kalangan Ashabul Furudh. Sekiranya ada Ashabul Furuhd, mereka akan mewarisi baki harta.

Keutamaan Asobah binnafsi mengikut susunan adalah seperti berikut:
- Anak lelaki
- Cucu lelaki (daripada anak lelaki)
- Cicit lelaki (daripada cucu lelaki) dan seterusnya
- Ayah
- Datuk
- Adik beradik lelaki seibu sebapa
- Adik beradik lelaki sebapa
- Anak saudara lelaki (daripada adik beradik lelaki seibu sebapa)
- Anak saudara lelaki (daripada adik beradik lelaki sebapa)
- Cucu saudara lelaki (daripada anak saudara adik beradik lelaki seibu sebapa)
- Cucu saudara lelaki (daripada anak saudara adik beradik lelaki sebapa) dan seterusnya
- Bapa saudara sebelah ayah seibu sebapa
- Bapa saudara sebelah ayah sebapa
- Sepupu lelaki (daripada bapa saudara sebelah ayah seibu sebapa)
- Sepupu lelaki (daripada bapa saudara sebelah ayah sebapa)
- Anak sepupu lelaki (daripada sepupu lelaki bapa saudara sebelah ayah seibu sebapa)
- Anak sepupu lelaki (daripada sepupu lelaki bapa saudara sebelah ayah sebapa)

Hanya Asobah yang pertama ini sahaja khusus untuk lelaki, manakala 2 jenis yang lain adalah berkaitan dengan perempuan.

2. Asobah Bilghori: Asobah ini ialah untuk 4 kumpulan waris perempuan dengan syarat ada bersama mereka adik beradik yang sama taraf yang asal mereka mewarisi Asobah binnafsi sekiranya tiada waris perempuan tadi. Asas pembahagian pula ialah 2 bahagian untuk lelaki dan 1 bahagian untuk perempuan. Mereka terdiri daripada:

- Anak perempuan jika bersamanya anak lelaki.
- Cucu perempuan jika bersamanya cucu lelaki (daripada anak lelaki sahaja walaupun daripada ayah yang berlainan)
- Adik beradik perempuan seibu sebapa jika bersamanya adik beradik lelaki seibu sebapa
- Adik beradik perempuan sebapa jika bersamanya adik beradik lelaki sebapa

Sedikit penjelasan:
Sekiranya terdapat 2 anak perempuan bersama cucu perempuan dan cicit lelaki (tidak sama taraf), maka cucu perempuan akan mewarisi Asobah bilghori dengan cicit lelaki. Ini kerana cucu perempuan terhalang dengan 2 orang anak perempuan sekiranya tidak mewarisi asobah sedangkan dia lebih tinggi tahapnya daripada cicit lelaki.

Akan tetapi sekiranya ada 1 anak perempuan, maka cucu perempuan akan mewarisi 1/6 (takmilah lis-thuluthain) dan cicit lelaki mewarisi Asobah binnafsi.

Keadaan yang sama berlaku dalam masalah 2 adik beradik perempuan seibu sebapa, adik beradik perempuan sebapa dan anak saudara daripada adik beradik lelaki seibu sebapa atau sebapa.

3. Asobah Maalghoiri: Asobah jenis ini adalah khusus untuk perempuan sahaja dan tiada kaitan langsung dengan waris lelaki. Ia diwarisi oleh adik beradik perempuan yang ada bersama dengan anak perempuan dengan syarat tiada adik beradik lelaki. Sekiranya ada adik beradik lelaki, maka sudah tentu adik beradik perempuan tadi akan mewarisi Asobah bilghoiri.

Asobah ini akan diwarisi oleh 2 waris iaitu:
- Adik beradik perempuan seibu sebapa. Syaratnya ialah tiada adik beradik lelaki seibu sebapa, tiada anak lelaki dan tiada ayah. Kekuatan yang ada pada adik beradik perempuan seibu sebapa dalam hal ini ialah menghalang adik beradik lelaki sebapa yang berhak mendapat Asobah binnafsi. (lihat contoh dibawah)
- Adik beradik perempuan sebapa. Syaratnya tiada adik beradik lelaki sebapa, tiada adik beradik lelaki sebapa, tiada anak lelaki dan tiada ayah.

Contoh:
Anak perempuan, adik beradik perempuan seibu sebapa, adik beradik lelaki sebapa.

Penyelesaian:
Anak perempuan: 1/2, adik beradik perempuan seibu sebapa: Asobah Maalghoiri, adik beradik lelaki sebapa: terhalang dengan adik beradik perempuan.

No comments:

Post a Comment