AYAT-AYAT FARAID
Surah Al-Nisa’ Ayat 11
“Allah perintahkan kamu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.
Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh simati.
Dan jika anak perempuan itu seorang saja, maka bahagiannya ialah satu perdua dari harta itu.
Dan bagi ibu-bapa (simati), tiap-tiap seorang dari keduanya, satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh simati, jika simati itu mempunyai anak.
Tetapi jika simati tidak mempunyai anak, sedangkan yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya sahaja, maka bahagian ibu ialah satu pertiga.
Kalau simati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.
(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh simati, dan sesudah dibayar hutangnya.
Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
Surah Al-Nisa’ Ayat 12
“Dan bagi kamu (suami) satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu, jika mereka tidak mempunyai anak.
Tetapi jika mereka mempunyai anak, maka kamu mendapat satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayar hutangnya.
Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak.
Tetapi kalau kamu mempunyai anak, maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutang kamu.
Dan jika simati yang diwarisi itu, baik lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau seorang saudara perempuan (seibu), maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam.
Kalau pula mereka (saudara-saudara seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh simati, dan sesudah dibayar hutangnya; wasiat-wasiat tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudharat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyabar.”
Surah Al-Nisa’ Ayat 176
“Mereka (orang-orang Islam) meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad mengenai masalah Kalalah).
Katakanlah: "Allah memberi fatwa kepada kamu dalam perkara Kalalah itu, iaitu jika seseorang mati, yang tidak mempunyai anak dan dia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkannya,
dan dia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuan, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak.
Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh simati.
Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan.
Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu, supaya kamu tidak sesat, dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
Sebab turun ayat Faraid
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim bahawa isteri Saad bin Rabi’ telah menemui Rasulullah bersama 2 orang anak perempuan Saad dan berkata: “Ya Rasulullah, ini 2 orang anak perempuan Saad yang mati syahid di medan Uhud. Sesungguhnya bapa saudaranya telah mengambil semua hartanya, dan mereka tidak dapat berkahwin tanpa harta. Bersabda Rasulullah: Allah akan memutuskannya, maka turunlah ayat 11 Surah Al-Nisa’.
No comments:
Post a Comment