Tuesday, March 3, 2009

Ayat Faraid

SURAH AL-NISA’ AYAT 11
- Bahagian anak, ibu dan bapa

“Allah perintahkan kamu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan [1]. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua[2], maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh simati. Dan jika anak perempuan itu seorang saja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu-bapa (simati), tiap-tiap seorang dari keduanya, seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh simati, jika simati itu mempunyai anak. Tetapi jika simati tidak mempunyai anak, sedangkan yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya sahaja, maka bahagian ibu ialah sepertiga. Kalau simati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasitkan oleh simati, dan sesudah dibayar hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu [3]. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

[1] Bahagian anak lelaki dua kali bahagian anak perempuan adalah karena kewajiban lelaki lebih berat dari perempuan, seperti kewajiban membayar maskawin dan memberi nafkah.
(lihat surat An Nisaa ayat 34).

[2] Lebih dari dua maksudnya: Dua atau lebih berpandukan kepada amalan Nabi S.A.W.

[3] Sebab itu Allah Taala menetapkan bahagian mereka kerana Dia jua Yang Maha Mengetahui.


SURAH AL-NISA’ AYAT 12
- Bahagian suami isteri dan adik beradik seibu


“Dan bagi kamu (suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu, jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayar hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula seperempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak, maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutang kamu. Dan jika simati yang diwarisi itu, baik lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau seorang saudara perempuan (seibu), maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah seperenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada sepertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasitkan oleh simati, dan sesudah dibayar hutangnya; wasiat-wasiat tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudharat (kepada waris-waris)[1]. (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyabar.”

[1] Memberi mudharat kepada waris itu ialah seperti:
Mewasiatkan lebih dari sepertiga harta pusaka atau berwasiat dengan maksud mengurangi harta warisan, sekalipun kurang dari sepertiga bila ada niat mengurangi hak waris, juga tidak diperbolehkan.


SURAH AL-NISA’ AYAT 176
- Bahagian adik-beradik kandung dan adik beradik sebapa

“Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad mengenai masalah Kalalah). Katakanlah: "Allah memberi fatwa kepada kamu dalam perkara Kalalah itu [1], iaitu jika seseorang mati, yang tidak mempunyai anak dan dia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan dia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuan, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh simati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu, supaya kamu tidak sesat. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

[1] Kalalah ialah: seseorang yang mati, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa.

No comments:

Post a Comment